Wednesday, June 30, 2010

Politik Doktor

Walaupun tidak dapat bersua muka, namun aku harap persinggahan aku di alam virtual milik sahabatku, Kak Ma (http://mavagax.blogspot.com/) dapat dikongsi bersama.

Alhamdulillah.

Selesai satu bab kehidupan. Peperiksaan untuk semester lapan baru sahaja berakhir pagi tadi. Secara tidak rasminya, penulis melangkah naik ke satu lagi anak tangga. Tahun kelima pengajian. Tinggal lagi masa sebulan untuk praktikal sebelum pulang bercuti di tanah air.

Praktikal musim panas tahun ini yang pertama kali diwajibkan oleh pihak universiti kepada semua pelajar perubatan tahun kedua hingga tahun kelima. Kebiasaan tahun-tahun sudah, kami perlu menghabiskan credit hours untuk praktikum didalam semester I dan semester II. Tetapi tahun ini ia dibawa ke cuti musim panas, lansung memendekkan cuti kami kepada kurang lebih tiga minggu sahaja.

Haru?

Mencabar!

Terasa 'dingin'nya dengan praktikal kali ini. Mana taknya, fikiran dah terbang melayang ke Malaysia. Ada yang dah termimpi-mimpi bersalaman dengan ibu ayah masing-masing. Belum lagi dikira keterujaan kami melihat para senior tahun akhir yang sibuk mengemas barang-barang mereka. Keseronokan 'mengenakan' kami sangat jelas. Mungkin sebagai momen manis terakhir mereka bersama kami. Mereka akan pulang dan tidak akan kembali lagi kesini.

Matlamat mereka untuk menggengam title MD sudah tercapai.

Catatan sejarah mereka di bumi Volgograd bakal berakhir dan membuka lembaran baru di Malaysia.

Cabaran yang lebih besar sedang menanti mereka setelah bergelar doktor, iaitu bila mula berhadapan dengan sakit masyarakat.

Kisah 2006

"Ma nak sambung belajar di Rusia? Kenapa tak pilih Mesir? Ilmu tibb disana juga sangat hebat. Ayah Ziz dah jumpa dengan ramai doktor lepasan Al-Azhar yang boleh ubat orang, dalam masa yang sama boleh berhujjah tentang Al-Quran dan Hadith dengan sangat hebat. Lagipun Ayah Ziz dengar negara tu tak selamat." Respon pertama yang keluar dari mulut bapa saudara penulis memaklumkan kepada beliau tentang tawaran belajar ke Rusia, beberapa hari selepas menerima surat tawaran.

"Allah nak bagi peluang cari ilmu di Rusia, ayah" penulis membalas. Tersenyum.

"Tak apalah belajar dimana-mana pun. Semuanya milik Allah. Ilmu hak Allah. Bumi Rusia tu pun hak Allah. Kemana pun kita pergi kita letak Allah dalam hati. Baik ke negara arab, baik ke China, baik ke mana saja, walau kita ke negara komunis sekalipun kalau jiwa kita ni muslim, mukmin, jiwa tu juga yang kita bawa dan hidupkan ditempat baru. Kita salurkan juga Islam tu pada orang-orang sana, InsyaAllah kita selamat. Kita belajar atas sebab Allah suruh". Penulis mendengar bilah nasihat beliau dengan teliti. Biar terus masuk ke hati. Bekal hati sebelum pergi.

Beliau menyambung, "Doktor ni orang pandang, orang dengar bila nasihat. Jadi biar apa yang keluar dari mulut, biar terus bawa orang depan kita tu nak ingat Allah, terus rasa takut pada neraka, terus rasa nak pada syurga. Doktor pun kena pandai politik". Beliau tersenyum dan bangkit dari tangga masjid.

Penulis bersalaman, lantas mengikut beliau dari belakang sehingga ke tangga rumah beliau.

Itu adalah nasihat yang dibekalkan kepada penulis. Nasihat atas tangga masjid.

Sampai sekarang penulis ingat.

Politik

Politik tidak boleh disempitkan hanya kepada ahli politik.

Ahli falsafah terkenal, Plato, menyebut politik sebagai 'the ways in which to create the ideal society'.

Tafsiran penulis, politik adalah satu seni. Seni meletakkan diri dalam masyarakat dan mengajak mereka kepada sesuatu. Politik sebagai wasilah dan matlamatnya, membina masyarakat bertamadun. Spesifiknya, membina akhlaq. Akhlaq atas dasar iman dan taqwa kepada Allah.

Adakah pembinaan masyarakat yang ideal itu hanya bergantung kepada ahli politik?

Tidak. Semua pihak perlu main peranan.

Seni Berpolitik

Antara contoh terbaik, kita lihat bagaimana Rasulullah S.A.W. menangani sikap marah sahabat-sahabat baginda apabila melihat seorang lelaki badwi kencing di satu sudut masjid. Hasilnya kencing tidak jatuh merata dan badwi itu tidak jatuh aibnya. Ia seni mendidik akhlaq.

Jika kita lihat ahli politik, cara berpolitik mereka sangat hebat sehingga berjaya mempengaruhi rakyat mengundi mereka dalam pilihanraya. Mereka bukan memaksa rakyat memilih, tetapi meyakinkan rakyat melalui personaliti, ilmu dan kebolehan menyempurnakan keperluan rakyat. Seteruskan dengan kedudukan yang ada, mereka membuka ruang tarbiyyah seluasnya kepada rakyat dan menutup pintu-pintu kemaksiatan. Ada seni dalam amar ma'ruf nahi mungkar.

Kita lihat politik dalam rumahtangga, suami isteri boleh saling menasihati jika ada toleransi. Seorang ibu lebih berkesan mendidik anak-anak dengan cara lemah lembut dan kasih sayang. Namun pada ayah, berbeza caranya. Perlu ada ketegasan dan rasa kasihan belas. Anak tidak lari, malah makin rasa diperlukan. Seni berkeluarga.

Politik Doktor

Politik adalah tanggungjawab.
Justeru doktor juga harus ada ilmu politik. Politik cara doktor.

Rasulullah S.A.W. bersabda:
"Pemerintah adalah pengembala dan bertanggungjawab ke atas gembalaannya, dan suami adalah pengembala di dalam rumahtangganya dan dia akan ditanya tentang gembalaannya"


Doktor mengembala pesakitnya. Sakit fizikal dan sakit rohani perlu doktor rawat. Kalaupun tidak terasa tugas doktor merawat sakit rohani, jangan lupa doktor juga seorang hamba Allah yang mana kewajipannya adalah mengajak manusia untuk meng-Esa-kan Allah,

Mahu jawab apa depan Allah kelak?

Kata Prof. Dr. Muhaya, untuk menjadi seorang doktor yang baik, perlulah positif dalam tingkah laku dan konfiden. Ia sememangnya sifir dalam berpolitk.

Masyarakat sudah sememangnya dekat, tidak perlu dipanggil malah mereka datang kepada doktor. Dari setinggi-tinggi pangkat, hingga yang serendah-rendah golongan. Mereka mengharapkan rawatan. Jadi rawat mereka seluruhnya, rohani dan jasmani.
Beri mereka layanan yang terbaik, ubat terbaik. Bisikkan islam dalam hati pesakit kita. Ia kombinasi terbaik.

Biarpun kita tidak mampu menjamin pulihnya sakit mereka, namun harapan untuk selamat itu ada.

Yang pasti kita mahu selamat dari seksa neraka.


"Most of the important things in the world have been accomplished by people who have kept trying when there seemed to be no hope at all" - Dale Carnegie (1888-1955)









3 comments:

  1. slalu org tak mahu ambil tahu perihal politik,brsikap brkecuali.syg sbb politik juga satu cbg ilmu,politik juga memandu kta memilih pemimpin.sedang memilih pemimpin yang benar itu satu kerja wajib..harap2 kta tidak trsalah pilih :)

    ReplyDelete
  2. ya..ramai remaja hari ini buta politik..siap kat fb tulis i hate politics...act, pelbagai masalah blh diselesaikan dgn 'POLITIK'

    ReplyDelete
  3. hal ini terjadi apabila politik diasingkan daripada Islam...cabaran masa kini untuk untuk mencerahkan fahamna politik agar dikaitkan dengan Islam..

    ReplyDelete