Thursday, July 15, 2010

Sebelum degup jantung dihentikan ..







Pembedahan pintasan koronari jantung sepatutnya bukan lagi proses rawatan yang menggerunkan. Bagaimanapun, apabila operasi angioplasti (mengembangkan saluran darah ke jantung yang tersumbat) ketiga saya gagal pada pertengahan April lalu dan doktor memaklumkan bahawa saya tiada pilihan, selain segera menjalani "bypass operation", saya menerimanya dalam keadaan berbelah-bahagi.

Jantung berdegup kencang. Maaf cakap, memang saya takut dan gerun mendengar "bypass". Dulu, nak ambil darah kat jari untuk test kencing manis pun "seriau". Bila doktor cadangkan suntik insulin, saya mencari pelbagai alasan untuk mengelaknya. Kemudiannya, mendengar operasi angioplasti pun kecut perut. Tup tup kena "belah dada" pula, lagilah menggigil ...

Justeru, saya harus segera membuat keputusan, tidak boleh berfikir panjang lagi. Masa adalah denyut nadi yang pantas bergerak. Bukan memutuskan sama ada mahu dibedah
atau tidak, tetapi hanya untuk memilih hospital mana untuk menjalani "major operation" yang mengundang risiko itu.

Mulanya saya dicadangkan ke sebuah hospital awam kerana bayarannya rendah. (Untuk tiga kali operasi angioplasti di hospital swasta sebelum itu banyak juga wang dibelanjakan, lebih RM50,000).

Temujanji diatur dengan pakar kardiologi hospital di selatan Kuala Lumpur itu tetapi di saat akhir saya menukar fikiran. Asasnya mudah, saya tiada kenalan di hospital
berkenaan bagi bertukar-tukar fikiran dan menjawab beberapa persoalan berbangkit dalam diri. Bukan sangsi dengan kepakaran di sana tetapi terasa diri dalam kegelapan untuk membuat pilihan tepat.

Melalui seorang teman rapat, pensyarah di UKM, saya bulatkan hati ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (kini dikenali sebagai PPUKM). Prof Madya Dr Mohd Ramzisham Abdul Rahman, pakar perunding bedah jantung, yang saya temui di klinik pakar, tingkat 7, peramah orangnya. Bicaranya terus-terang, tidak berselindung, penuh keyakinan.

Meneliti VCD yang dibekalkan pusat rawatan angioplasti, Dr Ramzi mengakui ada risiko pembedahan, tetapi tambahnya, jika tidak menjalani "bypass" risikonya mungkin lebih tinggi. Risiko pembedahan jantung adalah kematian!

"Ada pesakit lebih teruk daripada you, selamat, tapi ada pula yang nampak kurang risiko berbanding you, tidak berjaya diselamatkan," jelas Dr Ramzi menjawab kebimbangan saya.

Rekod buruk diabetis selama 20 tahun, ditambah masalah pada buah pinggang saya tambah merisaukan. Beliau menjangka kemungkinan saya terpaksa melalui rawatan dialisis sebaik selesai pembedahan. Makin kencanglah debaran jantung. Saya melihat kesengsaraan (sebenarnya ketabahan) teman-teman yang buah pinggang mereka gagal berfungsi. Rutin harian terpaksa berubah.

Apa pun, ia segera diredakan apabila Dr Ramzi memberitahu ada teknik baru mendapatkan urat di kaki sebagai saluran baru di jantung, iaitu kaedah VMMS (teknologi penuaian pembuluh darah), yang dapat memendekkan masa pemulihan terutama untuk pesakit kencing manis.

Hanya lega sekejap mendengar bicara Dr Ramzi. Gelisah menerpa semula apabila beliau menjelaskan bagaimana teruknya saluran darah saya ekoran mendapan kolestrol sejak sekian lama.

Balik dari HUKM, saya segera mencari kawan-kawan yang ada pengalaman dengan "bypass". Memang di waktu sukar seperti itu rakan-rakan lebih mampu untuk membantu.

Seorang doktor muda yang mempunyai klinik berdekatan rumah saya - beliau pernah bertugas di IJN - menceritakan kisah sedih ayahnya. Tiada siapa dalam keluarganya menduga ayah mereka "tidak sedar-sedar" selepas dibius untuk pembedahan.

"Kami hampir tidak terbayang risiko itu memandangkan dia tidak menghadapi apa-apa penyakit kronik lain, dia tak ada diabetis macam you," katanya, sambil menambah, "dan bayangkan lagi apa perasaan saya sebagai seorang doktor pula, yang gagal menyelamatkan ayah. Namun, segalanya ketentuan Allah."

Tentunya banyak lagi cerita tentang kejayaan pembedahan pintasan jantung tetapi yang mudah berbekas di hati adalah rekod kegagalan. "Bypass perkara biasa sekarang, Lutfi, nanti awak terasa muda 10 tahun," usik seorang kawan.

Selain itu, saya agak terkejut bila ramai juga membantah apabila dimaklumkan saya memilih HUKM. Rupanya mereka masih mengingati episod duka kematian Almarhum Ustaz Fadzil Mohd Noor - Presiden PAS yang begitu disayangi bukan saja ahli-ahli parti Islam itu tetapi sesiapa jua yang pernah mengenalinya - selepas menjalani "bypass' di hospital berkenaan. (Saya sendiri teresak-esak menangis ketika mengiringi jenazahnya dari HUKM, Cheras ke surau berdekatan).

Itulah hakikat yang sukar diterima: Ada pesakit nampak sihat dan sesetengahnya "segar-bugar" ketika katil disorong ke bilik bedah, tetapi selepas dibius, "tidak bangun-bangun" lagi. (Ustaz Fadzil yang kerap berjenaka dikatakan masih ceria bertanyakan juadah ayam kampung yang digemarinya sehari sebelum dimasukkan ke wad HUKM).

Pemergian Almarhum selepas PAS menang besar dalam pilihan raya umum 1999 memang satu kejutan (dan kehilangan) besar, apatah lagi beliau merupakan Ketua Pembangkang di Parlimen, yang menyaksikan keupayaan hebatnya berpidato dan kemampuannya mematahkan hujah lawan dengan gaya yang cukup menarik.

Saya tak pasti sejauh mana kes Ustaz Fadzil hampir 10 tahun lalu itu masih memberi impak negatif kepada reputasi Pusat Jantung dan Paru-Paru HUKM (apa pun saya kira tanggapan itu amat tidak adil buat petugas HUKM, terutama pakar-pakar bedah jantungnya, yang ternyata gigih menabur bakti), namun apabila bulat hati memilih "untuk menyerah diri" di hospital berkenaan, saya segera memikirkan situasi terburuk bakal menimpa: kematian.

Terdetik di hati, jika ramai yang dipanggil Ilahi secara tiba-tiba, termasuk anggota keluarga dan sahabat rapat, saya merasakan lebih bernasib baik kerana masih sempat untuk bermuhasabah, bertaubat, bermunajat dan melazimi diri dengan amalan mendekatkan diri dengan Allah.

"Mati tetap akan datang, tidak di bilik bedah, mungkin di atas katil di rumah, atau terbujur di jalan raya. Awak patut bersyukur Lutfi, jika ditakdirkan tidak panjang umur, awak sekurang-kurangnya dapat membuat persiapan bertemu Ilahi," hati saya berbisik-bisik, sebenarnya mahu menenangkan diri sendiri.

Terlintas dalam fikiran bahawa nikmat kesihatan bagai disia-siakan selama ini. 46 tahun usia berlalu terasa sekejap. Selain menelaah kitab-kitab agama yang lama tidak disentuh, terutama tafsir IbnuKathir, saya menghubungi ustaz-ustaz untuk mendapat pedoman memanfaatkan kesempatan paling berharga itu.

Benar dan ternyata cukup benar, ayat-ayat Allah adalah penyembuh kegelisahan. Bebanan dosa yang menimbun membayangi kegelapan malam. Satu demi satu peristiwa silam menjelma dalam kotak fikir. Masa merenung diri pantas berlalu. Saya
turut dinasihatkan agar, jika mampu, banyak membuat kenduri atau majlis makan, khususnya untuk fakir miskin, anak-anak yatim dan pelajar-pelajar tahfiz.

Terasa puas bila mengingatkan sempat juga saya menyantuni dan membantu keluarga malang tahanan ISA.

Seorang bekas tahanan ISA, warga Moro yang mempunyai keluarga di Sandakan, Sabah, yang kini dipenjarakan di Manila selepas dibebaskan dari Kamunting sempat berbual melalui telefon. Beliau nyata sebak, tetapi masih sempat menyuntik kata-kata perangsang buat saya.

Kebetulan beliau juga menderita sakit kronik, yang turut memerlukan pembedahan. Terselinap di hati bahawa lebih ramai insan yang bergelut dengan keperitan dan kesengsaraan. Sudahlah sakit, keluarga pula terpaksa mengerah keringat mencari sesuap nasi.

"Bapa saya buat bypass di usia lebih muda, 42 tahun, lebih 15 tahun lalu. Dia buat persiapan macam akan pergi buat selamanya. Kami sekeluarga belajar untuk pasrah.

"Hari operation, saya anak sulung terpaksa menjaga adik-adik di rumah. Hanya emak dan seorang dua saudara yang menunggu di luar bilik bedah. Alhamdulillah, sampaisekarang dia sihat. Lutfi lebih beruntung, ramai mendoakan dan membantu kos rawatan," kata bekas kawan sepejabat y ang pernah membantu semasa saya mengusahakan penerbitan akhbar politik tidak berkala selepas majalah Detik dan Wasilah diharamkan KDN. Beliau banyak meredakan kekhuatiran yang kerap menerpa.

(bersambung)

~sumber : akhbar harakah



Saturday, July 10, 2010

andainya dialah pesakitku..

creamyfiodesi said...

salam...
post yang amat perlu diberi perhatian.

soalan :
apa pendapat anda tentang doktor yang tahu hukum agama yang menyambut kelahiran anak zina?

anak itu memang tidak berdosa, tapi kalau saya doktor, fikir 2 kali juga untuk pass kerja tu kat doktor lain, mungkin terasa macam bersekongkol dengan si penzina. dengarnya prejudis, tapi saya rasa ada doktor yang berfikiran begitu.

saya terfikirkan jawapannya, tapi saya harap dapat jawapan yang lebih tulus daripada seorang doktor/bakal doktor sendiri. anggapkan perkara ini bakal terjadi dalam karier anda.

sekian.

Post sebelum ini adalah berkisar tentang peningkatan statistik kelahiran tanpa bapa (anak luar nikah) yang didaftarkan di Jabatan Pendaftaran Negara Malaysia dari tahun 2000 hingga 2009.

Pertanyaan di atas adalah salah satu pertanyaan yang diutarakan oleh salah seorang junior ketika menuntut di SMKAP lima tahun dahulu.

Terima kasih atas persoalan tersebut kerana menggerakkan diri ini untuk berfikir,meneliti dan memahami etika-etika doktor muslim.

Berdasarkan persoalan tersebut,

Pengetahuan perubatan adalah sebahagian daripada ilmu Allah dan ilmu ini memerlukan pendedahan kebesaran Allah dengan ciptaan-Nya.

"dan juga pada diri kamu sendiri,maka mengapa kamu tidak mahu melihat?"

Amalan perubatan membawa manusia dekat kepada belas kasihan Allah.Maka, amalan perubatan adalah satu ibadat dan kebajikan selain daripada kerjaya untuk mencari rezeki.

Rahmat Allah boleh sampai kepada semua manusia termasuk yang baik mahupun jahat, yang berbudi, busuk hati, kawan ataupun lawan.Oleh itu, profesion perubatan harus berpaksikan lunas-lunas rahmat Allah tanpa menimbulkan permusuhan atau membuat apa-apa hukuman, tidak menjadikan keadilan sebagai matlamat tetapi belas kasihan dalam apa jua situasi dan keadaan.

“Perubatan adalah satu keperluan agama bagi satu-satu masyarakat. Dari segi pengertian ugama, apa jua yang diperlukan untuk sesuatu keperluan, secara otomatik akan menjadi “keperluan”. Oleh itu pengecualian dari sesetengah hukum umum harus dibuat untuk membolehkan pelaksanaan pengajaran perubatan. Contohnya, pemeriksaan rapi badan manusia sama ada hidup atau mati tanpa mencabul kehormatan seseorang, semasa hidup atau mati dan sentiasa di dalam ketaatan kepada ugama dan menyedari kehadiran Allah.

* Pemeliharaan nyawa seseorang hendaklah merangkumi penghormatan terhadap kemuliaan, perasaan kelembutan orang itu dan juga tanpa mencabul sentimen dan anggota tubuhnya. Seorang pesakit berhak menerima layanan yang sepenuhnya, penjagaan dan perasaan selamat semasa bersama doktornya. Keistimewaan seseorang doktor yang diberi pengecualian dari sesetengah hukum umum hendaklah disertai dengan rasa tanggungjawab yang lebih dan menjalankan tugasnya dengan penuh teliti dan cemerlang dibawah pemerhatian Allah. “kecemerlangan memerlukan kamu menyembah Allah seolah-olah kamu melihat-Nya. Walaupun kamu tidak melihat-Nya Allah sentiasa melihat kamu.”

“Imam Ghazali menganggap profesion perubatan sebagai fardu kifayah, satu tugas yang mesti dilakukan oleh sesetengah ahli di dalam satu-satu masyarakat. Amalan ini lazim dilakukan kerana keperluan kesihatan adalah satu keperluan asas. Jika kesihatan terjejas, apa jua di dunia ini tidak dapat dinikmati.”

Mengulas kepada persoalan tersebut,berdasarkan etika kod doktor muslim yang membicarakan kemurnian nyawa manusia,berikut adalah intipati yang diperoleh.

1) Semua peringkat nyawa manusia termasuk embrio dan janin semasa di dalam rahim lagi adalah suci.

2) Polisi moden pada zaman kini yang memperkenalkan Foetus Medicine (bidang yang mengkaji penyakit janin di dalam rahim), dan didapati janin tersebut tidak sempurna(berpenyakit), Islam tidak membenarkan janin tersebut digugurkan.

3) Dalam Islam,janin mempunyai hak ke atas harta pusaka dan semasa digugurkan ia hidup dan mati selepas itu, maka harta yang diwarisi hendaklah dibahagikan kepada warisnya yang berhak.

4) Jika seorang perempuan hamil dijatuhi hukuman mati kerana kesalahan jenayah, pelaksanaan hukuman tersebut hendaklah ditangguhkan sehingga perempuan itu melahirkan dan menyusui anaknya meskipun anak itu adalah anak luar nikah.

Oleh itu, di sini,dapat kita lihat bahawa hak asas bagi janin untuk hidup adalah jelas.

Namun,tidak dilupakan juga,tugas doktor bukan sahaja untuk merawat,malah pencegahan juga merupakan salah satu daripadanya.Firman Allah,

"Jangan biarkan tangan kamu sendiri menjerumuskan kamu kedalam kebinasaan”

Rasulullah s.a.w membayangkan polisi “pencegahan” didalam sabdanya: “Apabila sesuatu daerah diserang oleh wabak jangan kamu memasukinya .. tetapi jika kamu berada didalamnya, jangan kamu keluar”.

Berhubung kes peningkatan kelahiran anak luar nikah,doktor juga mempunyai tanggungjawab untuk mencegahnya. Amalan nilai-nilai agama mesti diterapkan dalam kehidupan masyarakat dan tugas ini merupakan salah satu bidang tugas doktor juga.Politik doktor, masyarakat akan bertemu doktor jika tidak sihat.Doktor muslim haruslah bijak untuk menerapkan nilai-nilai murni yang dianjurkan Islam dalam kehidupan.

Selain itu, pihak jabatan kesihatan juga perlu memikirkan langkah drastik untuk membasmi statistik kelahiran anak luar nikah.

Kesimpulan kepada persoalan tersebut,jika berdepan dengan situasi tersebut,walaupun pesakitnya adalah seorang penzina,tugas pertama yang perlu dilaksanakan adalah memberi layanan,penjagaan dan perasaan selamat ketika bersama dengan doktornya. Namun, tugas ini mestilah dilakukan dengan teliti dan cemerlang seolah-olah Allah sentiasa melihat kamu,dan kamu juga melihatNya.




Wednesday, July 7, 2010

Digit yang tidak disangka

Bersyukur, bersyukur diberi peluang untuk melanjutkan pelajaran di Mesir. Dididik dan diasuh dengan suasana yang solehah (biah solehah).

Membiasakan perkara yang salah..

Itulah hakikat yang berlaku di era globalisasi. Maka batas pergaulan dalam masyarakat juga diglobalisasikan seterusnya nilai-nilai agama ditinggalkan. Natijahnya, pelbagai jenis kemaksiatan muncul bak cendawan yang tumbuh selepas hujan.

257 000

Tahu, statistik anak luar nikah di Malaysia tinggi. Namun,tidak terlintas angkanya mencapai 6 digit. Seramai 257 000 kelahiran tanpa bapa didaftarkan di Jabatan Pendaftaran Negara antara tahun 2000 hingga 2009. Baca di sini.




Islam menyeru kepada umatnya untuk mengejar kecemerlangan. Namun,inikah kecemerlangan yang dituntut? Menduduki tempat teratas dalam perkara yang semestinya dibenci Allah.

وَالَّذِينَ لَا يَدْعُونَ مَعَ اللَّهِ إِلَهاً آخَرَ وَلَا يَقْتُلُونَ النَّفْسَ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ إِلَّا بِالْحَقِّ وَلَا يَزْنُونَ وَمَن يَفْعَلْ ذَلِكَ يَلْقَ أَثَاماً
يُضَاعَفْ لَهُ الْعَذَابُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَيَخْلُدْ فِيهِ مُهَاناً

“Dan orang-orang yang tidak menyembah tuhan yang lain beserta Allah dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan Allah (membunuhnya) kecuali dengan (alasan) yang benar, dan tidak berzina, barang siapa yang melakukan yang demikian itu, niscaya dia mendapat (pembalasan) dosa(nya), (yakni) akan dilipat gandakan azab untuknya pada hari kiamat dan dia akan kekal dalam azab itu, dalam keadaan terhina,” (al-Furqaan: 68-69).

"Dura dah ada orang ke?",tanya seorang rakanku di Malaysia."Belum," jawabku ringkas."Tipulah.Takde kawan lelaki ke?",soalnya lagi.Barangkali, aku adalah antara orang yang asing dan aneh.Haha :) "Kawan ramai, tapi yang melekat di hati,belum lagi. Jangan risau,dah tiba masanya, saya jemput awak nanti. Sekarang, tumpu kepada study dulu;" ujarku kepada rakan sepermainan di zaman sekolah rendah.

COUPLE SEBELUM AKAD NIKAH

Antara perkara yang ditegah tetapi dihalalkan.

HIDUP TIDAK DIPUJI, MATI TIDAK DIKEJI, BERANI KERANA FAHAM.

Apabila ada pihak yang memberi peringatan, menegah dan memberi kefahaman tentang hal ini, pasti dipandang aneh dan tidak mustahil ada yang memandang mereka sebagai satu golongan yang berfikiran kolot.

وَلاَ تَقْرَبُواْ الزِّنَى إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاء سَبِيلاً

“Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji. Dan suatu jalan yang buruk,” (al-Israa’: 32)

Allah sudah berfirman, janganlah kamu menghampiri zina. Maka, segala perkara yang mendekatkan kita kepada zina, mesti dielakkan. Couple, chatting tidak syar'i dan sebagainya, mesti dibuang jauh-jauh. Syaitan tidak pernah putus asa untuk menyesatkan kita agar terjebak ke dalam kancah kemaksiatan.

KERASNYA LARANGAN ZINA

Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a, ia berkata, Rasulullah saw. bersabda, “Tiga jenis orang yang Allah tidak mengajak berbicara pada hari kiamat, tidak mensucikan mereka, tidak melihat kepada mereka, dan bagi mereka adzab yang pedih: Orang yang berzina, penguasa yang pendusta, dan orang miskin yang sombong,” (HR Muslim [107]).


~Nauzubillah, peringatan buat diri dan rakan-rakan. Semoga rahmat Allah sentiasa bersama kita. ~



:)